Pemilikan Hartanah di Kelantan

Alhamdulillah, pada tahun 2023, PBCO diberi peluang oleh Ar Razzaq untuk menguruskan Jualbeli Rumah di Kelantan yang mana status Pembeli adalah bukan Anak Kelantan. Tekan sini untuk melihat kes jual beli rumah bukan anak Kelantan menggunakan pinjaman LPPSA yang kami telah uruskan di Kelantan.


Di bawah Enakmen Tanah Kelantan 1938, syarat utama pemilikan Hartanah di Kelantan ialah Pembeli mestilah merupakan Anak Kelantan ataupun "Native of Kelantan". Dalam erti kata yang lain, hanya anak Kelantan sahaja yang boleh memiliki rumah ataupun tanah di Kelantan.

❓📢 Apakah definisi "Anak Kelantan"?

Di bawah seksyen 2 Enakmen Tanah Kelantan, takrif Anak Kelantan sebagaimana yang berikut:-

(a) Seseorang yang lahir di Kelantan, ayahnya adalah Melayu;

(b) Seseorang yang lahir di Kelantan, ibunya seorang Melayu dan bapanya seorang Muslim;

(c) Seseorang yang lahir dimana sahaja, bapanya Melayu lahir di Kelantan;

(d) Seseorang yang lahir dimana sahaja, ibubapanya Melayu dan tinggal di Kelantan sekurang-kurangnya 15 tahun;

(e) Seseorang sahaja yang lahir di Kelantan dan bapanya juga lahir di Kelantan.

Mana-mana takrif ini adalah diterima pakai untuk mengesahkan status Anak Kelantan terutama dalam melibatkan urusniaga hartanah seperti pindahmilik tanah dan gadaian tanah.

Jadi, boleh atau tidak "Bukan Anak Kelantan" untuk membeli Hartanah di Kelantan?

Jawapannya adalah, BOLEH. Tetapi tertakluk kepada beberapa syarat tertentu dan anda mesti memperoleh kebenaran atau kelulusan daripada Exco @ Pihak Berkuasa Negeri Kelantan terlebih dahulu sebelum pindahmilik itu dapat dilakukan kepada Bukan Anak Kelantan.

Pembeli adalah Bukan Anak Kelantan

Pembeli mestilah bermaustatin atau berkhidmat di Kelantan dalam tempoh masa sekurang-kurangnya 5 tahun, dengan syarat kebenaran Pihak Berkuasa Negeri Kelantan (EXCO) perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum menandatangani Borang Pindahmilik (14A). 

Jika Pembeli Bukan Anak Kelantan yang telah bermaustatin atau berkhidmat di Kelantan selama 15 tahun dan ke atas,  pindahmilik boleh dibuat seperti biasa dengan menyempurnakan Borang 14A KTN 1965 sekiranya hakmilik tanah berkenaan tidak mempunyai sekatan kepentingan (seperti tidak boleh dipindahmilik) tanpa perlu memperolehi Kebenaran EXCO. Pembeli cuma perlu sertakan pembuktian mastautin 15 tahun semasa pendaftaran pindahmilik. 

Tetapi, jika status hakmilik hartanah berkenaan mempunyai sekatan kepentingan, Pembeli perlu juga mendapat kebenaran EXCO terlebih dahulu sebelum urusan penyempurnaan Borang 14A walaupun Pembeli telah bermaustatin lebih daripada 15 tahun.

"Celik Hartanah, Elak Kena Kona"


Puteri Balqis & Co.

Peguam LPPSA Alor Setar

Peguam Hartanah Alor Setar

Notis

Kandungan penulisan ini, ketika tarikh diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.