KENALPASTI TERLEBIH DAHULU PEJABAT TANAH MANAKAH SEBELUM ANDA MENGURUSKAN TRANSAKSI BERKAITAN HARTANAH ANDA
KENAPA PERLU SAMPAI KE KULIM SEMATA-MATA UNTUK BUAT CARIAN HAKMILIK?
Contoh Jenis Hakmilik / Geran di mana setiap urusan atau pendaftaran mesti dibuat di Pejabat Tanah dan Daerah Kulim.
Pada 15hb November 2020, (di mana sebelum sistem dalam talian dilancarkan bagi tujuan carian) Hafiz ke Pejabat Tanah dan Daerah Kulim semata-semata untuk membuat carian persendirian bagi hartanah anakguam kami sebelum penyediaan dokumentasi Perjanjian Jual Beli dan Pembiayaan beliau. Kenapa Hafiz perlu sampai ke Kulim hanya semata-mata untuk membuat carian? Tak bolehkah Hafiz membuat carian di mana-mana Pejabat Tanah dan Daerah yang terdekat dengan Puteri Balqis & Co. (Alor Setar)?
Jom Hafiz kongsikan.
.
Sebelum anda membuat sebarang urusan atau urusniaga berkaitan hakmilik yang melibatkan tanah atau rumah anda, perkara pertama yang anda perlu pastikan terlebih dahulu ialah "Pejabat Tanah di DAERAH & NEGERI manakah yang anda patut berurusan".
Perlu diberi perhatian bahawa, setiap urusan yang melibatkan Hartanah berkenaan dengan apa-apa pendaftaran urusniaga seperti melepaskan gadaian, pindahmilik, gadaian, tenansi, ismen dan lain-lain) dan bukan urusniaga seperti kaveat, perintah larangan, tukar nama, perletakhakkan mahkamah dan lain-lain adalah mengikut kepada DAERAH dan NEGERI manakah Hakmilik / Geran tersebut didaftarkan atau dikeluarkan.
Perkara Kedua yang anda perlu teliti pula adalah "Apakah JENIS HAKMILIK geran anda"?
Jenis-jenis hakmilik geran adalah Hakmilik Sementara DAERAH - HS(D), Hakmilik Sementara Mukim-HS(M), Geran (GRN), Geran Mukim (GM), Pajakan Negeri (PN), dan Pajakan Mukim (PM).
Apakah perbezaan kesemua jenis-jenis hakmilik tersebut?
.
HS(D) / Pajakan Negeri (PN)/ Geran (GRN) merupakan hakmilik tanah Bandar dan dipegang oleh Pendaftar Hakmilik Negeri. Jadi, bagi hakmilik jenis ini, setiap urusan mestilah dilakukan di Pejabat Tanah & Galian (PTG) bagi NEGERI Hakmilik tersebut.
.
HS(M) / Pajakan Mukim (PM) / Geran Mukim (GM) pula ialah hakmilik tanah Desa yang dipegang oleh Pentadbir Tanah. Bagi hakmilik jenis ini pula, sebarang urusan mestilah dilakukan di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) bagi DAERAH Hakmilik tersebut.
Jadi, setiap urusan seperti urusan carian persendirian atau rasmi, mahupun pendaftaran urusniaga seperti pindahmilik, gadaian mahupun melepaskan gadaian haruslah dilakukan di PEJABAT TANAH mengikut JENIS HAKMILIK di dalam geran anda.
.
Sebagai contoh, jika jenis hakmilik adalah Geran Mukim di Daerah Kulim dan Negeri Kedah, maka, sebarang urusan berkaitan hakmilik seperti carian mahupun pendaftaran urusniaga atau bukan urusniaga haruslah dilakukan di Pejabat Tanah dan Daerah Kulim. Dan jika jenis Hakmilik geran adalah Geran (GRN), sebarang urusan atau urusniaga haruslah dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah walaupun tertera daerahnya adalah Kulim.
CATATAN PENTING: Hanya urusan berkaitan Bayaran Cukai Tanah sahaja boleh dilakukan di mana-mana Pejabat Tanah dan Daerah yang terdekat asalkan di Negeri hartanah tersebut didaftarkan.
Anda dapat sesuatu? Kongsi bersama keluarga dan kenalan anda. 😊
Perlukan Peguam Hartanah Panel LPPSA yang berpengalaman untuk transaksi Jual Beli dan Pembiayaan LPPSA anda? Hubungi kami sebagai pemudah cara anda.
Puteri Balqis & Co.
Peguam Hartanah Panel LPPSA Alor Setar
#peguampanellppsa
#peguamhartanahalorsetar
Notis
Kandungan penulisan ini, ketika tarikh diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.