PENYAKSIAN BAGI HAKMILIK REZAB MELAYU

Secara amnya, Peguam Hartanah merupakan individu yang boleh menyempurnakan penyaksian bagi tandatangan atau cap jari di Borang Pindahmilik (14A) selain daripada Pentadbir Tanah dengan syarat tanah tersebut BUKAN Tanah yang berstatus Rezab Melayu.

Namun, jika hartanah tersebut berstatus Rezab Melayu, penyempurnaan atau penurunan tandatangan atau cap jari pada Borang Pindahmilik (14A) dan Gadaian (16A) mestilah dilakukan dan disaksikan oleh Pentadbir Tanah di Pejabat Tanah dan Daerah.

Ini kerana, penyaksian bagi hakmilik rezab Melayu HANYA boleh disempurnakan oleh Pentadbir Tanah sahaja.

Adakah menjadi satu kewajipan untuk melakukan penyaksian di Pejabat Tanah dan Daerah yang sama bagi hartanah yang terlibat?


Jawapannya adalah, TIDAK. Penyaksian Pentadbir Tanah bagi penurunan tandatangan atau cap jari oleh pihak-pihak di dalam borang-borang Kanun Tanah Negara seperti Borang Pindahmilik (14A) dan Borang Gadaian (16A) tidak semestinya dilakukan di Pejabat Tanah dan Daerah yang melibatkan hartanah tersebut. Pihak-pihak boleh melakukan penyaksian di mana-mana Pejabat Tanah dan Daerah yang berhampiran atau memudahkan pihak-pihak untuk hadir.

Kenapa perlu melantik Peguam Hartanah jika penurunan tandatangan atau cap jari untuk hakmilik rezab melayu mesti dilakukan di hadapan Pentadbir Tanah?


Bagi kes yang melibatkan hakmilik yang berstatus Rezab Melayu, khidmat Peguam Hartanah diperlukan untuk tujuan-tujuan berikut:- 

1) Jika urusan pindahmilik hartanah terbabit adalah berdasarkan jual beli yang mana pembeli menggunakan pinjaman perumahan untuk membiayai jual beli, pihak institusi kewangan seperti LPPSA atau Bank meletakkan keperluan untuk melantik Peguam Hartanah bagi menguruskan kesemua transaksi dan dokumentasi berkaitan jual beli dan pembiayaan.

2) Peguam Hartanah adalah individu yang mahir dengan penyediaan dokumentasi dan tatacara pengisian dan penyempurnaan suratcara pejabat tanah serta dokumen iringan yang perlu bagi tujuan penyaksian di hadapan Pentadbir Tanah.

3) Sering berurusan di Pejabat Tanah menjadikan Peguam Hartanah telah biasa berurusan dengan pegawai-pegawai di kaunter Pejabat Tanah.

Jadi, lantikan Peguam Hartanah amatlah perlu walaupun hartanah tersebut berstatus rezab melayu bagi memastikan kelancaran keseluruhan proses pindahmilik termasuklah penyaksian di hadapan Pentadbir Tanah.

****************************************************************************************

Di posting ini, anda dapat mengetahui apakah dokumen-dokumen yang diperlukan apabila ingin membuat penyaksian di hadapan pentadbir. Isu ini tersangatlah penting kerana, jika dokumen anda tidak lengkap, penyaksian tidak dapat dilakukan dan anda pasti akan membuang masa berulang alik beberapa kali bagi tujuan yang sama. 

Puteri Balqis & Co. adalah salah sebuah firma guaman hartanah berpanel LPPSA di Alor Setar, Kedah yang menguruskan kes-kes Jualbeli dan Gadaian Hartanah Rezab Melayu di Semenanjung Malaysia yang mana melibatkan penyaksian Borang Pindahmilik dan Borang Gadaian sejak tahun 2018 hingga kini.


Puteri Balqis & Co.

Peguam Hartanah Alor Setar

Peguam LPPSA Alor Setar

Notis

Kandungan penulisan ini, ketika tarikh diterbitkan adalah hanya sebagai rujukan umum. Ia tidak sama sekali bagi tujuan nasihat perundangan. Dapatkan nasihat guaman mengenai situasi anda secara khusus sebelum mengambil sebarang tindakan.